OST Ramadhan Terakhir
Anda sedang mendengar:
Pompa Bensin - Jangan Lupa Namaku
Dari Runut Bunyi:
Ramadhan Terakhir

BUZZ

Nani, si Cinderella 'tomboy'!
Oleh | 02 Februari 2008 10:09 PM

01-02-2008 11:52:22 AM
oleh WAHIDA ASRANI

MEMBAWAKAN watak 'Cinderella' memang satu perkara yang amat diimpikan oleh aktres kecil molek ini sejak di zaman kanak-kanak lagi.

Cukup menyedihkannya ketika pementasan kisah tersebut di bangku sekolah, aktres berusia 22 tahun ini hanya diberi peluang untuk melakonkan watak 'godmother', sedangkan ketika itu sasarannya adalah untuk 'menjadi' Cinderella yang sememangnya merupakan watak fantasi yang cukup popular di kalangan kanak-kanak.

Lantaran itu, apabila ditawarkan untuk membintangi drama bersiri 26 episod berjudul Sindarela, 'ala-Cinderella' arahan Sharul Ezad Mohamadin yang bakal ditayangkan di TV3 menerusi slot Lestary bermula 5 Februari ini, Sharifah Amani atau lebih mesra disapa Nani ini tidak berfikir panjang lagi.


Nani pegang watak Zoela, gadis tomboy, di dalam drama Sindarela

Namun, 'Sindarela' yang ditonjolkan di dalam drama ini bukanlah seorang gadis yang bersifat lemah-lembut seperti mana Cinderella fantasi itu, tetapi kelainan yang dicipta oleh Ezad yang turut bertindak selaku penulis skrip drama ini ialah menampilkan watak Sindarela sebagai seorang 'tomboy' yang cukup agresif.

"Saya suka karektor ini...seorang gadis yang agresif dan dia jenis yang akan lakukan apa saja yang dia mahu. Sedikit-sebanyak memang ada persamaan watak ini dengan diri saya yang sebenarnya.

"Cuma dari segi imej gothic-funky yang ditonjolkan ini, saya sebenarnya banyak dibantu oleh Ezad, jurusolek dan seluruh team produksi ini.

"Selain kerana wataknya juga, saya terima tawaran untuk drama ini kerana saya senang bekerja dengan Ezad.

"Selepas bekerjasama dengannya sewaktu membintangi drama pertama saya Emil Emilda dulu, saya akui seronok bekerja dengan team ini.

"Lagipun, Ezad seorang yang memahami kebolehan setiap pelakonnya. Dia faham saya dan dia sendiri yang mahukan saya bawa karektor tomboy ini," ujar Amani pada sebuah majlis khas memperkenalkan barisan pelakon Sindarela, semalam. 

Selain Nani, drama terbitan Radius One Production ini menampilkan pelakon-pelakon lain seperti Bront Palarae, Mustafa Kamal, Ifa Radziah, Eira Syazira, Remy Ishak, Wan Sharmila dan Noorkhiriah.

Episod pengenalan Sindarela mengisahkan dua plot cerita yang berbeza mengenai kehidupan rakyat biasa bernama Zoela dan kerabat pemerintah kerajaan Indraputra.

Zoela (Nani) merupakan seorang gadis tomboy yang menuntut di sebuah pusat pengajian terkemuka di dalam jurusan grafik.

Sementara itu, pemerintah kerajaan Indraputra, Tengku Adnan (Mustafa Kamal) diserang penyakit misteri tetapi punca masalah kesihatannya masih tidak diketahui.

Tengku Adnan mempunyai seorang isteri, Zohara Gani Batista (Ifa Raziah) dan dua orang anak tiri bernama Tasha (Wan Sharmila) dan Tushee (Eira Syazira).

Konflik kekeluargaan dan perebutan harta di dalam kerajaan Indraputra menambahkan lagi tekanan kepada Tengku Adnan yang sedang sakit.

Konflik bermula apabila Zoela mendapat tahu bahawa dia mewarisi harta peninggalan bapanya itu yang mana Zoela merupakan anak kepada Tengku Adnan dan Serimah hasil perkahwinan mereka secara rahsia 20 tahun yang lalu.  


Nani terus menyerlah sebagai anak seni 

Walaubagaimanapun, untuk mendapatkan harta yang diwarisi itu, Zoela terpaksa tinggal bersama ibu dan dua orang kakak tirinya yang seringkali menindas gadis tersebut.

Bosan jawab isu hubungan dengan Que

Gosip hubungan Nani dan Que Haidar semakin hari semakin terus diperkatakan. Meskipun kedua-duanya menyangkal spekulasi ramai yang mengatakan pasangan ini sedang dilamun cinta, namun mereka tetap lagi 'diburu' untuk kepastian yang sebenarnya.

Apa yang pasti, bagi Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia Ke-19 (FFM19) ini yang memang tidak gemar menceritakan kisah peribadinya, mengakui sudah 'penat' untuk mengulas mengenai perkara itu.

"Saya berada dalam industri ini kerana kerja. Memang saya akui selesa dengan Que. Tapi saya pelik kenapa baru sekarang orang perkatakan tentang hal ini sedangkan kami memang sudah mengenali antara satu sama lain sejak lima tahun lalu.

"Saya dan Que mengagumi kerja masing-masing, tambahan pula dia juga bermula dengan teater...jadi kami berdua memang cukup saling memahami," luah Nani, ringkas.

Dalam perkembangan lain, anak kepada pelakon Fatimah Abu Bakar ini juga bakal membintangi filem baru berjudul Sayang, You Think You Can Dance bergandingan bersama bintang Indonesia, Samuel Rizal dan dijangka akan memulakan penggambarannya pada pertengahan bulan ini.

Dipetik dari mSTAR Online

  • Respon Anda
  • Sila log masuk untuk menghantar komen.